Posted by: iscrcmp | stUTCp29UTC02bUTCFri, 01 Feb 2008 01:05:29 +0000 5, 2007

Mengenang Jasa Datuk Ishak Baharom

Tokoh agama berprinsip, disegani

dipetik daripada BH online


TINGGAL KENANGAN: Ishak bersama isteri, Khalijah bergambar bersama cucu mereka.

Ishak tegas perjuangan walaupun menerima teguran pelbagai pihak

BEKAS Mufti Selangor, Datuk Ishak Baharom, 80, yang meninggal dunia di Unit Rawatan Rasmi (ICU) Hospital Sungai Buloh (HSB), petang semalam, adalah seorang tokoh agama yang dihormati, bukan saja di Selangor, malah di seluruh negara.

Beliau dilantik sebagai mufti kelima di Jabatan Mufti Selangor secara kontrak pada 16 Ogos 1985, ketika berusia 58 tahun, iaitu tiga tahun selepas bersara sebagai guru agama.
Kontrak Ishak, anak kelahiran Kanchong Darat, Banting, ditamatkan pada 1997, atas faktor usia.

Ishak, adalah anak pasangan Baharom Jabar yang berasal dari Banjarmasin, Sumatera dan Fatimah Junid, yang berasal dari Melaka.

Beliau yang mempunyai lima adik beradik mendirikan rumah tangga dengan isteri pertamanya, Datin Maznah Yusuf yang berasal dari Manung, Kuala Kangsar, Perak. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan tiga anak, Shahmun, Nawal dan Ahmad Fuad.

Pada Julai 1994, Maznah meninggal dunia ketika berusia 50 tahun selepas berada dalam keadaan koma ketika dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang.

Beberapa tahun selepas kematian Maznah, Ishak berkahwin dengan seorang pegawai tadbir di Jabatan Pendidikan Selangor, Khalijah Abdullah, 48, dan mereka mengambil anak angkat, Nasim, yang kini berusia dua setengah tahun.

Ishak bersekolah di Sekolah Melayu Kanchong Darat dari 1935 hingga 1941 dan pada 1945, beliau menyambung pelajaran di Sekolah Menengah Arab Madrasah Bukit Mertajam, Seberang Prai, Pulau Pinang, sebelum melanjutkan pelajaran di Darul Ulum, India.

Beliau digantikan Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid sebagai mufti Selangor pada 1998 dan berkhidmat sehingga kini.

Sepanjang Ishak menjadi mufti selama 12 tahun, beliau terpaksa melalui pelbagai kontroversi. Antaranya ialah apabila beliau menyokong tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menahan tiga gadis Islam yang juga model sambilan, menyertai satu pertandingan ratu cantik pada 1997.

Pendirian tegas beliau bukan saja menyebabkan ramai pihak terkejut, ada yang mempertikaikan tindakan Jais.

Ia juga menimbulkan satu lagi kontroversi, apabila akhbar lidah rasmi Pas, Harakah, melaporkan Ishak menuduh iman Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad, sebagai terpesong berikutan kenyataan Dr Mahathir mengenai kes penangkapan tiga peserta terbabit.

Lanjutan daripada laporan Harakah itu, Dr Mahathir mengeluarkan kenyataan bahawa beliau tersinggung dengan kenyataan Ishak, namun isu berkenaan dianggap selesai selepas Ishak menjelaskan keadaan sebenar.

Pun begitu, tidak lama kemudian, Ishak melahirkan rasa sedih dan kekesalannya kerana tiada seorang pun pemimpin kerajaan negeri yang mempertahankan tindakan Jais menahan ketiga-tiga gadis itu.

Kenyataan Ishak itu dikatakan dibuatnya ketika beliau menyampaikan satu ceramah di Masjid Az-Zubir Ibnu Al-Awwam di Cheras.

Ketegasan Ishak dalam isu membabitkan akidah dan cara hidup umat Islam di Selangor memang sudah diketahui sepanjang beliau menjawat jawatan sebagai mufti.

Pada awal 1996, Ishak mengeluarkan kenyataan mengharamkan perbuatan merokok di kalangan umat Islam.

Beliau yang juga Pengerusi Perunding Hukum Syarak Selangor ketika itu, memberi penjelasan bahawa ada bukti kukuh mengapa perbuatan merokok dianggap sebagai haram.

Antara alasan yang diberikan ialah ia membahayakan kesihatan dan hakikat itu sudah diakui pakar kesihatan sendiri.

Ishak juga pernah membuat kenyataan bahawa pinjaman yang dibuat penjaja dan peniaga kecil Melayu daripada along atau ceti haram menunjukkan mereka tidak mengambil berat soal halal haram hingga sanggup membuat pinjaman atau berurusan dengan mereka.

Ishak menegaskan bahawa perbuatan itu bertentangan dengan hukum syarak kerana ia ada unsur riba yang hukumnya adalah dosa besar.

Sepanjang beliau menjadi mufti sehingga ke akhir hayatnya, Ishak menjadi penceramah dan pendakwah bebas walaupun beliau pernah diharamkan kerajaan Selangor, daripada menyampaikan ceramah di masjid dan surau negeri itu pada November 1998. Bagaimanapun, larangan itu ditarik balik pada Februari 1999.

Secara peribadi, Ishak berpegang kepada prinsip jika kita berbuat baik kepada orang tanpa mengira kaum dan keturunan, Tuhan akan membalas perbuatan dengan balasan yang baik.

Selain itu, Ishak percaya setiap individu tidak perlu berkira untuk membantu atau berkorban kepada individu lain asalkan ia tidak bertentangan dengan ajaran agama dan berada di jalan yang benar.

Biarpun Ishak sering berdepan dengan pelbagai kontroversi, dengan prinsip yang dipegangnya sepanjang hayat beliau, Ishak tetap disayangi keluarga dan orang yang mengenalinya sehingga akhir hayat beliau.

Ishak menghembuskan nafasnya yang terakhir ketika dirawat di HSB akibat pendarahan dalam otak selepas tidak sedarkan diri sejak pagi kelmarin, kira-kira 30 hari selepas ulang tahun kelahirannya yang ke-80 tahun pada 1 Januari lalu.

PROFIL
Ishak Baharom

  • Beliau dilantik sebagai mufti kelima di Jabatan Mufti Selangor secara kontrak pada 16 Ogos 1985, ketika berusia 58 tahun, iaitu tiga tahun selepas bersara sebagai guru agama.
  • Kontrak Ishak, anak kelahiran Kanchong Darat, Banting, ditamatkan pada 1997, atas faktor usia.
  • Ishak adalah anak pasangan Baharom Jabar yang berasal dari Banjarmasin, Sumatera dan Fatimah Junid, berasal dari Melaka.
  • Beliau mendirikan rumah tangga dengan isteri pertamanya, Datin Maznah Yusuf dan dikurniakan tiga anak, Shahmun, Nawal dan Ahmad Fuad.
  • Ishak berkahwin dengan Khalijah Abdullah, 48, selepas kematian Maznah.
  • ________________________________________________________________

    ISC merasakan pemergian beliau merupakan suatu kehilangan yang besar kerana jasa beliau mempertahankan hak dan prinsip Islam ketika mana umat Islam jauh terleka daripada ajaran Islam yang sebenarnya.

    Moga rohnya disemadikan bersama-sama dengan golongan salafus soleh ~Ameen~


    Tinggalkan Jawapan

    Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

    WordPress.com Logo

    Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

    Twitter picture

    Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

    Facebook photo

    Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

    Google+ photo

    Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

    Connecting to %s

    Kategori

    %d bloggers like this: