Posted by: iscrcmp | thUTCp31UTC01bUTCFri, 11 Jan 2008 09:22:01 +0000 5, 2007

[komen]Minda Pengarang: Sikap ambil tahu mampu bendung kes jenayah

BH online 

PENINGKATAN indeks jenayah seharusnya memberi isyarat kepada semua pihak supaya sama-sama berganding bahu untuk mengurangkannya. Sememangnya tugas polis menangani kegiatan jenayah, tetapi mengharapkan polis semata-mata tidak mungkin dapat menghalang perbuatan mencuri, memeras ugut, menculik, merusuh, mencederakan orang lain, membunuh dan pelbagai kesalahan lain yang melanggar undang-undang negara. Rakyat juga harus memainkan peranan sama ada secara bekerjasama dengan pihak berkuasa atau mengamalkan sikap ambil tahu jika berdepan dengan sesuatu yang pelik di kawasan kediaman masing-masing. Sikap individualistik antara faktor meningkatnya jenayah kerana penjenayah tahu dalam masyarakat seperti itu, mereka lebih mudah mengelak daripada undang-undang selepas melakukan jenayah. Inilah yang berlaku di kota Amerika Syarikat yang penghuninya yang individualistik.

Kita menyambut baik pelbagai langkah membendung kegiatan jenayah termasuk yang terbaru – mewajibkan pemilik atau penyewa bangunan memasang kamera litar tertutup (CCTV) dan menempatkan lebih ramai anggota polis di lokasi yang berisiko. Kita sedar polis tidak mampu mengendalikan sendiri usaha membanteras kegiatan jenayah tanpa bantuan semua pihak khususnya masyarakat. Namun, langkah menambahkan anggota polis pelbagai peringkat dan mengambil pesara polis bekerja secara kontrak boleh membantu membendung perbuatan jenayah daripada berleluasa. Keputusan kerajaan membenarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil 60,000 anggota tambahan dalam tempoh lima tahun sehingga 2011 diharap mempercepatkan tindakan dan keberkesanan menangani jenayah. Apapun kelengkapan dan anggota polis yang mencukupi belum tentu dapat mengurangkan unsur jenayah jika anggota tidak berkerja dengan cekap, mengabaikan berdisiplin dan masyarakat enggan bekerjasama dengan polis.

Dalam taklimat Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan sempena lawatan kerja Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman Selasa lalu, dimaklumkan bahawa Jenayah Indeks meningkat sebanyak 14,910 atau 7.12 peratus kepada 224,298 tahun lalu, berbanding 209,388 pada 2006. Selain berusaha memerangi jenayah itu, kajian harus dilakukan bagi mencari punca peningkatan itu. Misalnya, kenapa sehingga 185 kecurian motosikal dan 67 kes pecah rumah berlaku sehari sedangkan sebelum ini ia tidak berlaku sebanyak dan sekerap itu. Mungkinkah ia ada kaitan dengan kebanjiran ramai warga asing? Apapun, kita tidak boleh membiarkan penjenayah terus mencemarkan imej negara, terutama di mata pelancong asing. Jangan kerana tindakan mereka ini, bukan saja rakyat sentiasa diselubungi kebimbangan, malah pelancong juga takut mengunjungi Malaysia, sekali gus menjejaskan industri pelancongan dan iklim pelaburan kita. Justeru, sikap penduduk yang kurang mempedulikan apa yang berlaku di persekitaran dengan alasan tidak mahu menjaga tepi kain orang, walaupun jenayah berlaku di depan mata harus dikikis. Pemimpin masyarakat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) perlu menyuntik sikap sensitif dan responsif di kalangan penduduk serta saling berinteraksi untuk mengambil tahu apa yang berlaku dalam masyarakat. Disebabkan itu, kita percaya idea penubuhan Rakan Cop pada peringkat nasional boleh menarik rakyat bersama-sama berganding bahu dengan polis membasmi jenayah dan ia perlu disegerakan.

_________________________________________________________________

“sebenarnya orang-orang Yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.” (al-Hujurat:10)

Melihat kepada pandangan di atas menyebabkan diri ini terfikir seketika… jika dikira logikanya, ternyata langkah-langkah tersebut merupakan suatu yang releven dalam mengurangkan jenayah di Malaysia, akan tetapi jikalau dilihat kepada peristiwa lampau bilamana setiap tahun ada sahaja bilangan anggota polis yang ditambah, lantas timbul satu soalan cepu emas: Mengapa masih terdapat jenayah yang berlaku saban hari di Malaysia?

Mungkin ramai yang sudah mengagak jawapan penulis terhadap persoalan ini, apatah lagi seringkali jua blog ini memaparkan pandangan bahawa ISLAM adalah penyelesaiannya. Dan itulah jua yang akan ditekankan di sini. Ini kerana suatu sabda Rasulullah yang membawa maksud baginda diutuskan untuk membetulkan akhlak umat. Bukankah itu suatu petanda jelas Islam itu menekankan akhlak yang mulia.

Pengarang di atas menekankan isu atau fokus kepada sifat individualistik masyarakat zaman sekarang. Sememangnya itulah yang berlaku pada masa kini. Kita tidak pernah mengendahkan antara satu sama lain, kalau pun ada, boleh dibilang dengan jari. Lihatlah kepada kawasan-kawasan perumahan, berapa ramai yang mengambil berat hal jiran sebelah? Tidak menghairankan begitu banyak sekali kejadian pecah masuk rumah berlaku lantaran sikap individualistik kita. Islam menekankan sikap mengambil tahu kepada jiran tetangga sehinggakan jikalau jiran sebelah berlapar dan kita tidak mengambil tahu hal tersebut, termasuk dalam hal yang boleh mendatangkan dosa kepada kita.

“dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia Dengan sesuatu apa jua; dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan jiran tetangga Yang dekat, dan jiran tetangga Yang jauh, dan rakan sejawat, dan orang musafir Yang terlantar, dan juga hamba Yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang Yang sombong takbur dan membangga-banggakan diri;” (an-Nisa’:36)

Sikap indivualistik ini jugalah yang menyebabkan berlakunya kejadian penculikan melibatkan Sharlini tempoh hari. Masyarakat perlu disedarkan kembali peranan jiran tetangga dalam hal ini. Bukankah berkasih sayang itu sifat mulia seorang mukmin?

“Kamu akan lihat orang Islam dalam kasih sayang mereka, lemah-lembut mereka dan kasihan belas mereka umpama seperti tubuh badan, jika ada anggota badan yang mengadu sakit, maka seluruh anggota badan yang lain turut merasainya dengan sakit demam dan berjaga malam.” (Riwayat Bukhari)

Maka, eloklah kalau kita bertanya kepada diri mengapakah masyarakat kini menunjukkan sifat indivualistik ini? Siapakah yang bertanggungjawab dalam hal ini? Kalau dilihat kepada suasana masyarakat kita, ternyata tanggungjawab itu terletak pada bahu pemerintah. Nilai-nilai Islam sedikit demi sedikit terkikis daripada kehidupan kita. Di mana laungan kedaulatan Islam dalam kehidupan kita? Ikhlaskah kita dalam mendaulatkan Islam atau ianya sekadar slogan untuk memancing undi, lebih-lebih lagi dalam suasana dekat dengan pilihan raya ini?

“Agama adalah tapak dan pemerintah (kedaulatan) adalah pengawal. Suatu yang tiada tapak pasti runtuh dan suatu yang tiada pengawal pasti hilang” (al-imam al-Ghazali)

Mungkin ramai yang akan memandang sinis kepada artikel blog ini dan mengatakan ia pro-pembangkang. Sedarlah, selari atau tidak pandangan ini dengan pembangkang bukanlah isunya. Penulis sekadar melahirkan rasa kebimbangan kepada gejola masyarakat yang berlaku sekarang. Usaha kerajaan dengan mengambil langkah meningkatkan prasarana keselamatan patut dipuji, tetapi ia tetap alat dan alat semestinya punya ralat dan kelemahan yang boleh dieksploitasi. Isu jenayah ini perlulah dipandang kepada asasnya atau ‘grass root problem’nya. Apakah sebenarnya akar kepada semua masalah yang melanda dan pengarang BH ternyata punya asas untuk mengatakan sikap kitalah yang mendorong kepada semua ini.

Yakinlah ISLAM sebagai penyelesaian, insyaAllah akan dipermudahkan oleh Allah dalam segala halnya.

TIADA YANG DIIMPIKAN MELAINKAN KEDAULATAN ISLAM


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Kategori

%d bloggers like this: