Posted by: iscrcmp | thUTCp31UTC12bUTCWed, 19 Dec 2007 08:30:08 +0000 5, 2007

Perutusan sempena Aidiladha 1428H

Bismillahirrahmanirrahim

“daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi Yang sampai kepadanya ialah amal Yang ikhlas Yang berdasarkan taqwa dari kamu. Demikianlah ia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjukNya. dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan Yang sebaik-baiknya) kepada orang-orang Yang berusaha supaya baik amalnya.” (al-Hajj:37)

Allauakbar Allahuakbar Allahuakbar walillahilhamd

Assalamualaikum w.b.t.

Takbir berkumandang sekali lagi pada tahun ini setelah kita merayakan Aidilfitri tidak lama dahulu. Kedua-duanya adalah perayaan buat umat Islam. Saya ingin mengajak rakan-rakan untuk menghayati makna di sebalik Aidiladha yang saban tahun kita raikan. Hakikatnya, di Malaysia kita seolah-olah meletakkan dua taraf yang berbeza kepada dua perayaan ini. Kita lebih gembira meraikan Hari Raya Puasa berbanding Haru Raya Korban sedangkan kalau dilihat kepada sejarah Aidiladha ternyata ia mempunyai signifikan yang jauh lebih penting berbanding Hari Raya Puasa. Tidak dinafikan jua waqi’ semasa yang menyebabkan kita tidak punya banyak masa sebagaiman Hari Raya Puasa untuk diraikan. Kebiasaanya, cuti Aidilfitri jauh lebih panjang berbanding Aidiladha. Walau bagaimanapun, ia tidak sepatutnya menjadi alasan kepada kita untuk tidak menghayati makna di sebalik perayaan kali ini.

Aidiladha menjadi saksi kepada pelbagai peristiwa sejarah terutamanya bagaimana ia pertama kali disyariatkan setelah Nabi Allah Ibrahim a.s. diperintahkan untuk menyembelih anak kandungnya sendiri. Bayangkan perasaan Nabi Ibrahim ketika itu. Siapa tidak merasa sayu dan ragu-ragu apa lagi jika yang menjadi korban adalah anak kandung sendiri. Akan tetapi, berbekalkan keimanan yang kental kepada ALLAH s.w.t. menyebabkan baginda a.s. pasrah dan redha atas arahan ALLAH tersebut. Begitu jua dengan anak dan isteri baginda a.s. setelah mengetahui semuanya adalah dari ALLAH semata-mata. Anak baginda a.s. Ismail bahkan berkata kepada ayahnya supaya tidak ragu-ragu menambahkan lagi keyakinan kepada ayahnya Ibrahim a.s. untuk meneruskan perintah tersebut.

maka ketika Anaknya itu sampai (ke peringkat umur Yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: “Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya Aku melihat Dalam mimpi Bahawa Aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?”. Anaknya menjawab: “Wahai ayah, jalankanlah apa Yang diperintahkan kepadamu; insya Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang Yang sabar“.” (As-Shafaat:102)

Sejarah Islam sendiri menyaksikan betapa pengorbanan adalah suatu yang biasa dan menjadi rutin bagi seorang pejuang Islam. Sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w. berkorban harta bahkan diri mereka semata-mata untuk kepentingan Islam.

“Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang Yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka Dengan (balasan) Bahawa mereka akan beroleh syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (di antara) mereka ada Yang membunuh dan terbunuh. (balasan syurga Yang demikian ialah) sebagai janji Yang benar Yang ditetapkan oleh Allah di Dalam (Kitab-kitab) Taurat dan Injil serta Al-Quran; dan siapakah lagi Yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? oleh itu, bergembiralah Dengan jualan Yang kamu jalankan jual-belinya itu, dan (ketahuilah bahawa) jual-beli (yang seperti itu) ialah kemenangan Yang besar.” (at-Taubah:111)

Begitulah jika ditelusuri kehidupan seorang yang menyerahkan diri kepada ALLAH, maka kita akan mendapati betapa banyaknya pengorbanan mereka sebagaimana juga pengorbanan As-Syahid Imam Hassan al-Banna, dan pengasas kepada jamaah Islam HAMAS, Syeikh Ahmad Yasin. Mereka adalah contoh kepada suatu pengorbanan yang cukup besar, semata-mata untuk melihat Islam itu tertegak di atas muka bumi ini.

Saya menyeru kepada sahabat-sahabat sekalian untuk sama-sama kita mengambil pengiktibaran dari peristiwa korban Nabi Ibrahim dan semangat pengorbanan baginda a.s. Marilah sama-sama kita mengikut jalan yang telah ditunjukkan oleh Nabi kita, Rasulullah s.a.w., para sahabat, tabi’in, tabi’ tabi’in seterusnya seluruh mujahid dan mujahidah dari dulu sehinggalah zaman sekarang yang ternyata sanggup berkorban apa sahaja demi Islam.

Sebagai seorang mahasiswa Islam, bukan sahaja kita dituntut untuk berkorban dari sudut harta tetapi perjuangan dalam bidang akademik jua menuntut pengorbanan yang besar. Janganlah disempitkan pengorbanan itu dari konteks jihad mengangkat senjata semata sedangkan ruang skop jihad itu luas. Setiap dari umat Islam punya peranan masing-masing tidak kiralah sama ada dalam bidang akademik mau pun mereka yang berada di Palestin, mengangkat senjata melawan kekejaman zionis sehinggalah kepada mereka yang menyapu sampah di kompleks membeli belah. Saya menyeru diri saya sendiri dan rakan-rakan untuk sama-sama kita berkorban demi melihat Islam juga boleh ditegakkan melalui bidang akademik. Ayuh kita buktikan, angkatlah Islam dengan kejayaan cemerlang dalam akademik!

Buat rakan-rakan final year yang akan menduduki peperiksaan tidak lama lagi, saya mendoakan agar rakan-rakan sekalian diberikan taufik dan hidayah dalam mengulangkaji pelajaran dan dipermudahkan dalam peperiksaan akan datang. Hayatilah makna pengorbanan yang sebenar, moga-moga ALLAH memberi kemenangan kepada mereka yang sentiasa istiqamah dalam perjuangan membela agama ALLAH ini.

Buat rakan-rakan yang akan bertolak ke kampung masing-masing, hati-hatilah di jalan raya. Krimkan salam saya kepada keluarga masing-masing dengan lafaz Assalamualaikum w.b.t.

Allahukbar Allahuakbar Allahuakbar walillahilhamd.

Salam Pengorbanan,

AHMAD HADYAN HUSAINY BIN HASBULLAH,

Presiden,

Islamic Student Club (ISC),

Royal College of Medicine, Perak (RCMP)


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Kategori

%d bloggers like this: