Posted by: iscrcmp | thUTCp31UTC12bUTCFri, 14 Dec 2007 12:46:36 +0000 5, 2007

[komen]7 maut nahas bas di Tol Jelapang

7 maut nahas bas di Tol Jelapang

Oleh Ridzuan Yop, Shamsul Kamal Amarudin,Zatul Iffah Zolkiply dan Raja Norain Hidayah

Berita Harian online, 12 Disember 2007


BERKECAI: Keadaan bas persiaran yang melanggar belakang trailer membawa muatan susu getah mengakibatkan tujuh nyawa terkorban di Plaza Tol Jelapang, semalam.

IPOH: Tujuh orang terbunuh manakala 28 lagi cedera, termasuk empat parah apabila bas pesiaran yang membawa rombongan Wanita Umno Bahagian Kuala Kedah merempuh belakang sebuah lori di Plaza Tol Jelapang menghala ke selatan, awal pagi semalam, dipercayai akibat brek tidak berfungsi.

Dalam kemalangan ngeri kira-kira jam 4 pagi itu, enam mangsa termasuk pemandu bas terbabit, Lim Teh Lee, 49, dan pemandu keduanya, Saad Salleh, 45, meninggal dunia di tempat kejadian, manakala seorang lagi di Hospital Ipoh (HI).

Lima ahli rombongan itu yang terbunuh dikenali Siti Rosadah Ibrahim, 46, Puteh Mat Isa, Mohamad Hussin, 50, Dahara Mohamad, 60 dan Nur Shuhadah Muhamad, 15.
Pasukan bomba dan penyelamat serta dibantu anggota Plus dan polis mengambil masa kira-kira sejam untuk mengeluarkan mayat mangsa yang kebanyakannya tersepit dalam bas yang remuk itu.

Bas yang membawa 35 penumpang itu dikatakan bertolak dari Kubang Jawi, Kuala Kedah, kira-kira jam 12.30 malam dan dalam perjalanan ke Cameron Highlands.

Ketua Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, Deputi Superintendan Rodzi Rajab, berkata berdasarkan keterangan saksi, bas itu mengalami masalah brek selepas menuruni Terowong Menora dan dilihat terhoyong-hayang.

“Sebaik menuruni bukit menuju plaza tol, bas berkenaan gagal dikawal dipercayai kerana breknya tidak berfungsi lalu melanggar belakang lori terbabit.

“Akibat perlanggaran itu, kebanyakan penumpang yang duduk di kerusi hadapan tercampak keluar dari bahagian depan bas yang remuk teruk,” katanya.

Beliau berkata, empat mangsa yang mengalami kecederaan parah, dirawat di HI, manakala 24 penumpang lagi cedera ringan.

Pemandu trailer yang membawa susu getah itu, bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan dan membuat laporan polis sejurus selepas kejadian berkenaan.

Rodzi meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian itu menghubungi Rakan Cop di talian 03-21159999 atau balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S Samy Vellu dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohd Tajol Rosli Ghazali, turut melawat tempat kemalangan dan mangsa di HI.

Bercakap kepada pemberita, Samy Vellu berkata, pemandu bas itu mungkin terlalu mengantuk kerana memandu dalam tempoh masa yang lama.

Katanya, beliau pernah menyarankan Kementerian Pengangkutan supaya hanya membenarkan pemandu yang mempunyai pengalaman lebih 10 tahun untuk membawa bas atau lori.

“Ketika ini, sesiapa saja yang ada lesen walaupun baru sebulan sudah diterima memandu kenderaan berat terutama bas dan lori, sebaliknya mereka perlu dilatih dan tidak terus diterima sebagai pemandu,” katanya.

Tajol Rosli pula berharap proses mengalihkan plaza tol berkenaan dapat dipercepatkan kerana kedudukannya sekarang membahayakan pemandu kenderaan.

Plaza tol itu akan dipindahkan ke kawasan satu kilometer dari situ dan projek berkenaan dijangka siap pertengahan tahun depan,

Tajol Rosli berkata, Umno Perak juga akan menyampaikan sagu hati kepada keluarga mangsa yang terbunuh dan cedera dalam kemalangan itu.

________________________________________________________________

di mana jua kamu berada, maut akan mendapatkan kamu (bila sampai ajal), sekalipun kamu berada Dalam benteng-benteng Yang tinggi lagi kukuh...” (an-Nisa’:78)

Seorang Muslim semestinya cukup yakin bahawa maut itu pasti menjemputnya setelah tiba waktunya. Cuma persoalannya, bila, di mana dan bagaimana kematiannya itu sahaja yang menjadi misteri.

Menginagati mati tidak bermaksud berundur ke belakang. Bahkan Nabi Muhammad s.a.w. pernah berpesan kepada sahabat-sahabat bahawa orang yang mengingati matilah orang yang paling cerdik di atas muka bumi ini. Hal ini demikian, kerana mati itu pasti dan apa yang kita boleh buat dan lakukan hanyalah berusaha ke arah kematian yang lebih selesa.

Sesiapapun akan mengakui bahawa mati itu suatu yang menyakitkan. Sirah Rasulullah sendiri mengisahkan bagaimana Rasulullah di saat-saat dijemput oleh ALLAH s.w.t. mengatakan kepada malaikat Izrail bahawa mati itu menyakitkan.

Seorang Muslim sangat meyakini akan alam barzakh dan seksaan kubur, sepatutnya tidak timbul perbahasan-perbahasan bodoh menyangkal keyakinan ini sebagaimana pernah didakwa oleh sesetengah orang.

peristiwa 11 disember lalu di Tol Jelapang menyaksikan 8 orang terbunuh sepatutnya menjadi pengajaran kepada kita bahawa mati itu boleh sahaja menjemput kita dalam pelbagai cara, mungkin juga dalam keadaan kita sedang tidur. Setiap kematian yang berlaku bukan sahaja sepatutnya menjadi kesedihan kepada mereka yang rapat dengan mangsa tetapi menjadi suatu petanda peringatan kepada mereka yang masih hidup, ‘apakah kita sudah bersedia untuk mati?’.

Abu Hurairah berkata, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud, “Hendaklah kamu membanyakkan ingat perkara yang boleh melembutkan kelazatan hidup,” bertanya Abu Huraraih: ” Apakah yang boleh meleburkan kelazatan hidup itu?” Jawab baginda s.a.w. “Zikrul maut”, iaitu mengingati akan mati…

salam takziah buat keluarga mangsa-mangsa kemalangan tempoh hari.

Islamic Student Club (ISC),

Royal College of Medicine, Perak (RCMP)

Ipoh.


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Kategori

%d bloggers like this: