Posted by: iscrcmp | thUTCp30UTC09bUTCThu, 13 Sep 2007 07:22:33 +0000 5, 2007

Ramadhan: Suatu Cabaran

Azan Maghrib 12 September 2007 menandakan permulaan kepada satu bulan yang penuh rahmat, bulan Ramadhan. 1 Ramadhan menjelma lagi…pesta beribadah telah pun bermula. Telah banyak diperkatakan berkenaan dengan kelebihan bulan ini, maka artikel ini tidak ingin mengulas lagi berkenaan dengan perkara tersebut. Artikel ini ditulis untuk melihat Ramadhan itu dalam satu sudut yang lain; dalam kehidupan selaku mahasiswa yang terikat dengan jadual akademik.

Ramai mahasiswa yang berpendapat Ramadhan yang datang ini menganggu kehidupan akademik mereka. Ini jelas berlaku kepada pelajar perubatan terutamanya yang tampak mengasingkan diri daripada bersolat tarawih secara berjemaah di masjid semata-mata untuk mengulangkaji pelajaran. Bukan untuk mempertikaikan tindakan mereka, sedangkan mengulangkaji pelajaran juga satu ibadah yang insyaAllah dibalas dengan ganjaran berlipat ganda jua ketika bulan ini. Sangkaan saya sudah tentu mereka ini akan bersolat tarawih secara bersendirian. Di sinilah letaknya kebijaksanaan kita mengatur kehidupan sebagai seorang Muslim. Tidakkah kita merasa rugi jika tidak dapat bersolat tarawaih yang hanya boleh dilakukan ketika bulan Ramadhan? Tidakkah kita merasa terpanggil untuk menggandakan ibadah kita ketika bulan ini? Sedangkan kalau diatur masa kita dengan baik, nescaya kita akan mendapati masa yang secukupnya untuk melakukan perkara-perkara yang kita ingini.

Ramadhan: Persepsi Non-Muslim

Berbincang berkenaan dengan puasa di kalangan sahabat-sahabat Non-Muslim, kita kekadang mendapati persepsi mereka terhadap puasa itu sendiri agak terpesong daripada pemahaman kita. Mereka berpendapat puasa ini boleh mengurangkan produktiviti seseorang. Jangan terkejut jika kita juga mendapati persepsi yang sama di kalangan masyarakat Islam di negara kita. Ia hasil didikan tidak langsung dari suasana yang membelenggu agama Islam itu sendiri di negara kita menyebabkan terhasilnya golongan yang agak liberal dalam beragama. Buktinya, terbitnya golongan yang sekular dan lari jauh daripada pegangan agama itu sendiri seperti Sisters In Islam (SIS) dan banyak lagi ajaran-ajaran sesat seperti ajaran Ayah Pin. Pun begitu, kita tidak boleh mempersalahkan mereka semua. Ini kerana kemungkinan pendapat sedemikian keluar dari kotak minda mereka disebabkan oleh bukti-bukti yang telah nyata di hadapan mereka. Ini kebiasaannya berlaku kepada golongan Non-Muslim. Mereka memandang sahabat-sahabat mereka di kalangan yang Islam berpuasa, tetapi bukan sahaja tidak menunjukkan prestasi yang baik dalam kerja mahu pun pelajaran bahkan pada bulan puasa inilah kemerosotan berlaku.

Keyakinan dan Keimanan Kita

Ingin saya mengajak sahabat-sahabat sekalian untuk kita merenungi kembali kisah Perang Badr yang berlangsung ketika bulan Ramadhan jua. Ketika itu cabaran adalah lebih dahsyat kerana waqi’ jelas tidak menyebelahi mereka. Panas terik sang mentari dan bilangan mereka jauh lebih kecil daripada pihak musuh. Akan tetapi, dengan persediaan yang rapi walaupun dengan kelengkapan yang tidak lengkap, mereka berjuang jua dan akhirnya dianugerahi Allah dengan kemenangan.

‘dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh Yang menceroboh) Segala jenis kekuatan Yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda Yang lengkap sedia, untuk menggerunkan Dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh Yang lain dari mereka Yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. dan apa sahaja Yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya.’ (Al-anfaal:60)

Relevennya kisah ini untuk dikaitkan dengan kehidupan mahasiswa yang persis perjuangan jua. Jangan kita kecilkan skop perjuangan dan jihad itu dengan peperangan mengangkat senjata sahaja. Peperangan juga boleh berlaku dalam hidup kita selaku mahasiswa. Maka, di sinilah letaknya kebijaksanaan kita merancang dan keimanan yang kuat terhadap Allah bahawa bulan Ramadhan ini juga akan dapat meningkatkan produktiviti dan prestasi kita insyaAllah.

Persepsi Non-Muslim: Peranan kita

Setiap daripada kita adalah wajib memainkan peranan selaku daie. Kerja dakwah ini bukan tertumpu kepada sesetengah golongan sahaja. bukankah Rasulullah s.a.w. pernah bersabda supaya disampaikan daripadanya walaupun satu ayat. Dan dakwah yang paling berkesan adalah dakwah bil hal, atau dakwah secara teladan.

‘serulah ke jalan Tuhanmu (Wahai Muhammad) Dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran Yang baik, dan berbahaslah Dengan mereka (yang Engkau serukan itu) Dengan cara Yang lebih baik; Sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua Yang lebih mengetahui akan orang Yang sesat dari jalannya, dan Dia lah jua Yang lebih mengetahui akan orang-orang Yang mendapat hidayah petunjuk.’ (an-Nahl:125)

Bukan salah Islam terbitnya pandangan yang sedemikan daripada mereka. Ia salah umat Islam sendiri kerana gagal menghayati makna sebenar Ramadhan itu. Seperti kemalangan jalan raya, usah disalahkan kenderaan yang elok ditunggangi jikalau disebabkan kelalaian dan ketidakcekapan pemandu lah yang sebenarnya menyebabkan kecelakaan tersebut. Menjadi tanggungjawab kita semua untuk membetulkan persepsi ini. Ayuh, sama-sama kita melakukan anjakan paradigma demi menonjolkan Islam yang sebenarnya kepada masyarakat tidak mengira latar belakang agamanya apa.

Jadilah bulan Ramadhan ini sebagai medan mendisiplinkan diri sebagai hamba Allah dan pemegang amanah menyebarkan agamaNya di atas muka bumi ini. Moga-moga kita syahid di jalanNya. Amin…

Unit Intelek ISC,

RCMP.

‘Ramadhan, ketibaanmu dinanti, pemergianmu ditangisi’


Responses

  1. AlhamduliLlah, setelah sekian lama kini lahirlah ‘wadah’ yg telah lama ana nantikn utk kita semua berkongsi ilmu, pengalaman dan buah fikiran. sempena bulan Ramadhan al-Mubarak ini, marilah kita berlumba2 melaksanakan ibadah. “Fastabiqulkhairat”~ InnaLlaha Ma’ana insyaAllah =)

  2. …Ramadhan, ketibaannya sekali setahun.. maka rebutlah peluang ini utk meningkatkan ieman dan ‘menampal segala kekurangan diri’. kerana siapa tahu adakah kita diberi kesempatan sekali lagi untuk bertemu Ramadhan yang akan datang & mungkinkah ESOK MASIH ADA BUATMU??
    ..Pergi tak mungkin kembali lagi.. wallahu’alam
    >seek 4 MarDhatilLah<


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Kategori

%d bloggers like this: